Saturday, 7 December 2013

Persediaan Yang Perlu Dilakukan Sebelum Mula Bekerja

Terdapat banyak persiapan yang perlu dilakukan sebelum anda berlepas ke luar negara untuk memulakan tugas baru.

Di antara persiapan-persiapan penting yang perlu dibuat:

  • Tidak disenaraihitamkan untuk ke luar negara. 
  • Pastikan segala dokumen perjalanan seperti visa, passport dan tiket kapal terbang sudah dikemaskini dan disahkan sebelum anda bertolak. 
  • Pastikan ada seseorang menunggu anda di lapangan terbang di destinasi yang akan dituju dan menghantar anda ke tempat kediaman baru anda.
  • Anda perlu mempunyai wang saku yang mencukupi untuk perbelanjaan makan dan minum di lapangan terbang, untuk menampung hal-hal kecemasan dan perkara yang tidak diduga seperti kelewatan pesawat dan sebagainya.
  • Pastikan anda membawa wang yang mencukupi sekurang-kurangnya satu bulan (sebelum anda menerima gaji anda yang pertama daripada majikan baru) di tempat kerja baru termasuk perbelanjaan makan dan minum, pakaian, sewa dan deposit rumah, api dan air, sewa kereta atau wang pendahuluan untuk membeli kereta baru atau kereta terpakai atau wang untuk membeli perabot (jika tempat tinggal anda tidak disediakan kelengkapan tersebut).
  • Jangan terlalu banyak membawa wang tunai. Bawa sekadar untuk perbelanjaan perjalanan sahaja manakala yang lainnya, tukarkan ke dalam bentuk cek kembara (travellers' cheque). Ini lebih selamat kerana tidak mudah untuk sesiapa menukar cek kembara anda kepada wang tunai tanpa dokumen yang sah seperti pasport. Jangan berlengah-lengah untuk membuka akaun bank dan menyimpan wang simpanan yang dibawa. Kalau berada di Amerika Syarikat, banyak transaksi yang menggunakan cek (membeli belah di pasar raya pun boleh guna cek), jadi lebih mudah jika mempunyai Akaun Semasa.
  • Jika anda ingin menghantar wang kepada keluarga, cari maklumat bagaimana untuk berbuat demikian. Selain perkhidmatan bank, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan Western Union jika ia terdapat di negara tersebut. Buat perbandingan harga dari segi upah perkhidmatan yang dikenakan kerana anda tidak mahu membelanjakan terlalu banyak wang untuk perkhidmatan tersebut. 
  • Satu dunia tidak berbahasa Inggeris sahaja. Bersedia dengan beberapa perkataan asas bahasa pertuturan di destinasi kunjungan seperti Ya, Tidak, Terima Kasih. 
  • Pastikan sama ada Lesen Memandu Antarabangsa yang dipohon di Malaysia sah di negara yang anda tuju. Jika tidak, di mana dan bagaimana harus anda memohon lesen memandu tersebut? 
  • Jika anda mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis atau lelah, pastikan anda membawa bersama bekalan ubat yang mencukupi supaya penyakit tersebut tidak mengganggu anda di dalam menjalankan tugas baru. Oleh kerana perbelanjaan perubatan dan hospital agak mahal di luar negara, pastikan majikan anda menyediakan kemudahan tersebut tanpa anda perlu menggunakan wang simpanan anda.
  • Jangan lupa membawa surat tawaran bekerja di luar negara (sangat penting) dan hubungi pekerja di bahagian Sumber Manusia untuk mengesahkan kedatangan anda. Untuk menjimatkan wang, anda boleh melakukannya menerusi internet. Sesetengah organisasi ada menyediakan khidmat untuk menjemput anda dari lapangan terbang ke tempat penempatan sementara yang juga disediakan. Pastikan anda tahu siapa yang perlu dihubungi dan bagaimana untuk menghubungi beliau sekiranya anda berhadapan dengan apa-apa masalah.
  • Maklumkan kenalan tentang perjalanan anda. Dapatkan nombor dan alamat Kedutaan Malaysia di negara yang ingin dituju sebagai langkah persediaan jika anda memerlukan bantuan nanti seperti mempunyai masalah yang berkaitan dengan visa dan hal-hal kecemasan yang memerlukan perlindungan seperti didera atau ditipu oleh majikan atau terpaksa berhadapan dengan peperangan mengejut atau sesuatu bencana alam seperti gempa bumi, banjir besar, tanah runtuh, ribut taufan dan sebagainya. 

Menjalinkan perhubungan dengan staf-staf di Kedutaan Malaysia juga boleh membuat anda terasa seperti berada di negara sendiri dan dapat melepaskan kerinduan pada keluarga dan negara, apatah lagi apabila terpaksa menyambut hari perayaan di luar negara.



Pastikan sama ada Lesen Memandu Antarabangsa yang dipohon di Malaysia sah di negara yang anda tuju
Pastikan sama ada Lesen Memandu Antarabangsa yang dipohon di Malaysia sah di negara yang anda tuju


Contoh VISA




No comments:

Post a Comment